suria

Bekas Pembantu Peribadi Benjy Nafi Dadah Miliknya

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu peribadi kepada Benjy, Afifi Hamid menafikan bahawa dadah yang ditemui pada hari pelakon tersebut ditangkap adalah kepunyannya.

Wanita yang bertubuh kecil itu bagaimanapun memberitahu, dadah tersebut ditemui di dua unit kondominium, iaitu di Menara Duta 2, di sini yang diduduki Benjy bersama keluarganya.

Dia yang kini bekerja sebagai pereka juga memberitahu, satu lagi paket berisi syabu ditemui di sebuah kondominium di Vista Mutiara, Kepong, di sini yang disewanya bersama Benjy dan dua rakan mereka.

"Rumah tersebut disewa beramai-ramai. Penyewa rumah itu adalah kawan saya yang saya gelar sebagai M.J. Nama penuh saya tidak tahu," katanya di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.

Katanya lagi, dia akan bermalam selama dua hingga tiga hari dalam seminggu di rumah Vista Mutiara yang dijadikan sebagai tempat beristirehat.

Menurut Afifi, 25, rumah Menara Duta 2 didiami oleh isteri Benjy, Safiya Stephanie Kar- Leng Lee (juga rakan saksi), anak pasangan itu dan seorang pembantu rumah yang bernama Sunarni Isna.

Pada keterangan lain, Afifi memberitahu dia mula mengenali Benjy sejak tiga tahun lalu, apabila dia mengikuti seorang rakan untuk menghantar skrip kepada anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty tersebut.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan oleh saksi pendakwaan pertama, Asisten Superintendan Mohd Ashril Md Johar, 43, bahawa Afifi telah disahkan positif syabu selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 11 Mac 2010, dia memberitahu, dia dan Benjy ditangkap di tempat letak kereta Vista Mutiara, iaitu semasa pulang daripada pelbagai tempat di ibu negara.

"Ada sebuah kereta datang menghadang di belakang kereta kami, seorang polis turun dan gari Benjy. Seorang lagi polis datang ke arah saya dan minta kad pengenalan.

"Saya beri dan mereka bawa saya ke Benjy dan gari tangan saya bersama dengan Benjy," katanya dan menambah, dia mereka seterusnya dibawa ke rumah di Menara Duta 2 dan Vista Mutiara.

Dia juga memberitahu, melihat polis mengambil paket-paket yang berisi dadah kerana semasa itu dia berada di bahagian ruang tamu rumah.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 33, dibicarakan atas pertuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.14 gram di rumah beralamat C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Kepong Baru di sini pada pukul 3 petang, 11 Mac 2010.

Dia juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu, memiliki 0.24 gram dadah sama pada pukul 4 petang, hari yang sama di rumah nombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Off Jalan Segambut, di sini.

Pelakon Kerana Cintaku Saerah tersebut didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noormawarni Abdul Halim manakala Benjy diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad.

Perbicaraan di hadapan Majistret Hafizza Sauni bersambung Selasa.

Artikel Berikut

Artikel Lain