BESUT: Seramai 79 pendatang asing tanpa izin (Pati)ditahan dalam operasi 14 jam oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sekitar daerah Besut dan Setiu bermula 2 petang, Rabu.Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Terengganu Bakri Sulaiman berkata kebanyakan Pati ditahan kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala yang lain tidak memiliki dokumen pekerjaan. Dalam operasi itu, seramai 78 Pati Indonesia berusia lingkungan 19 dan 40 tahun ditahan di kawasan projek pembinaan sekitar Hulu Besut, Setiu, Kuala Besut dan Jerteh."Seorang Pati, yang turut ditahan, berasal dari Filipina, berumur 34 tahun pula didapati mempunyai kad pengenalan palsu," katanya sambil menambah seramai 24 anggota dan pegawai Imigresen serta dua pegawai JPN terlibat dalam operasi itu.Mereka kemudian dihantar ke Pusat Penempatan Pati di Ajil.Bakri berkata operasi akan diteruskan bagi memastikan semua Pati yang bekerja di tapak pembinaan di seluruh negeri itu mematuhi syarat serta tidak melanggar undang-undang. - BERNAMA