suria

Agong Mahu Usaha Diperhebatkan Realisasikan Wawasan Malaysia Menjadi Negara Maju

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan segala usaha diperhebatkan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dan meningkat, merealisasikan wawasan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 dan berpendapatan tinggi.

Seri Paduka bertitah daripada aspek ekonomi, kedudukan negara begitu memberangsangkan, pelaburan dari dalam dan luar negara semakin meningkat dan kadar inflasi pula berada pada paras terkawal.

Melahirkan rasa bangga kerana Malaysia merupakan antara negara yang memiliki pelbagai institusi pentadbiran dan pelaksanaan kukuh serta efektif, Tuanku Mizan sukacita melihat kerajaan sentiasa mengambil usaha dan inisiatif bagi menambahbaik institusi berkenaan dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020.

"Sesungguhnya, kekukuhan dan kestabilan sesebuah negara amat bergantung kepada pelbagai institusi yang menjadi tonggak pentadbiran negara tersebut, malah, institusi pentadbiran dan pelaksanaan yang kukuh merupakan antara elemen terpenting dalam menghasilkan sebuah negara maju dan disegani," titah Seri Paduka sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Sabtu.

Melihat pelbagai rancangan dan pelan tindakan yang digagaskan bagi memperkukuhkan pelbagai institusi negara, Tuanku Mizan mahu semua pihak bekerjasama menjayakan matlamat yang disasarkan.

"Beta menggesa semua pihak, kerajaan, sektor swata, badan bukan kerajaan (NGO), media massa dan yang terutama rakyat jelata untuk sama-sama bersepakat dan berganding bahu agar segala usaha yang digagaskan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan," titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah dunia hari ini berhadapan dengan tekanan ekonomi begitu mencabar dan dugaan ekonomi terbesar kini adalah kenaikan harga minyak termasuk kos bahan api melambung tinggi melanda setiap negara di dunia.

"Malaysia pastinya tidak terkecuali. Jika berterusan, fenomena ini bukan sahaja akan membawa kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara tetapi lebih penting lagi, menghimpit taraf hidup rakyat melalui tekanan inflasi.

"Beta bersyukur kerana kerajaan masih berupaya mengimbangi kesan kenaikan harga minyak demi kesejahteraan rakyat jelata. Beta berasa sukacita kerana kerajaan terus mengekalkan harga minyak RON 95, diesel dan gas petroleum cecair kepada harga semasa."

Mengharapkan keputusan itu dapat mengurangkan beban rakyat, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan para peniaga memberikan kerjasama dan tidak sewenang-wenang menaikkan harga barangan keperluan pengguna.

"Bila berlaku kenaikan harga seluruh rakyat akan mendapat kesan buruk dan sesungguhnya apa yang kerajaan laksanakan ini tidak dapat dinikmati rakyat," titah Seri Paduka.

Mengenai penggunaan pelbagai sumber tenaga dan air yang menyebabkan negara membelanjakan sejumlah besar wang bagi menyediakan kemudahan itu, Tuanku Mizan mahu rakyat jelata menjadi warga yang bijak memanfaatkan sumber tenaga dan air dengan berhemah.

Seri Paduka bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama yang dilindungi daripada persengketaan dan kekacauan, selain mewarisi bumi Malaysia indah dan permai.

"Beta akui bukanlah mudah untuk rakyat berbilang bangsa dan agama mendiami sebuah negara dan berkongsi segalanya dalam keadaan aman, rukun dan damai.

Namun, rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang kita miliki bukanlah satu halangan dan masalah, sebaliknya adalah satu keunikan yang membina kekuatan kita bersama," titah Tuanku Mizan.

Melahirkan rasa dukacita kerana masih ada pihak yang cuba mengganggu-gugat kententeraman negara dengan membangkitkan isu-isu sensitif, Seri Paduka mahu rakyat Malaysia mengekalkan perpaduan demi kesejahteraan tanah air dan generasi akan datang. Tuanku Mizan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini dan berharap insiden itu menjadi iktibar kepada semua agar lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara maju pada 2020, Seri Paduka menitahkan rakyat Malaysia agar menjadi warga perkasa dan dinamik, yang bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi juga nilai akhlak, moral dan berintegriti.

"Sesungguhnya, Beta menghargai serta menyokong komitmen kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha meningkatkan integriti dan memerangi rasuah," titah Seri Paduka.

Menyatakan hemat Seri Paduka bahawa kerajaan berada pada landasan betul dalam langkah pencegahan rasuah, Tuanku Mizan menitahkan agar pendekatan untuk memerangi rasuah dilakukan secara mutlak dan lebih komprehensif, serta melipatgandakan usaha berkaitan.

Secara keseluruhannya, titah Seri Paduka rakyat Malaysia bertuah kerana mampu menikmati kehidupan selesa dan selamat, namun, Tuanku Mizan percaya masih ada ruang bagi menjanjikan kehidupan lebih baik untuk rakyat.

"Kerajaan harus melakukan segala usaha yang perlu bagi memastikan kualiti hidup rakyat terutamanya di luar bandar akan terus terbela dan bertambah baik."

Akhir titah, Tuanku Mizan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri kabinet serta seluruh rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan taat setia kepada Seri Paduka menjalankan amanah sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan lancar dan sempurna.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa agar kerajaan dan rakyat akan terus mendukung cita-cita kita untuk menjadi negara maju, beretika dan bermoral tinggi.

"Marilah kita sama-sama pastikan bahawa negara majmuk ini terus maju dan aman makmur, dengan ikatan perpaduan yang kuat serta usaha gigih untuk terus maju. InsyAllah, kita akan diberkati Allah SWT," titah Seri Paduka. - BERNAMA

Artikel Lain