Anggota Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran di Kampung Titingan, dekat Tawau lewat tengah malam tadi yang menyebabkan kira-kira 100 orang tinggal sehelai sepinggang. - Foto BERNAMATAWAU: Seratus penduduk di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah setinggan mereka di Blok 5, Kampung Titingan, musnah dalam kebakaran lewat malam Sabtu.Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Julius John Stephen ketika ditemui pemberita di tempat kejadian berkata tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran berkenaan. Julius berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.41 malam, dua jentera bomba dengan 18 anggota dikejarkan ke tempat kejadian namun 80 peratus rumah sudah musnah apabila anggotanya tiba di tempat kejadian.Katanya walaupun menghadapi kesukaran memadamkan api disebabkan laluan pejalan kaki ke lokasi kejadian berliku-liku, ditambah dengan tekanan air yang kurang memuaskan namun dengan kerjasama orang ramai dan pasukan polis, kebakaran dapat dikawal daripada merebak dalam masa setengah jam.Menurut Julius punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami penduduk masih disiasat.Kampung Titingan merupakan perkampungan setinggan paling padat di Tawau dan kebakaran malam tadi merupakan yang kelima pada tahun ini. - BERNAMA