KOTA BAHARU: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata golongan wanita perlu menjauhi budaya 'cah keting' atau tikam belakang, dalam menghadapi suasana kehidupan masa kini terutama dalam dunia politik yang semakin mencabar. Rosmah, yang juga Yang Dipertua Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri berkata apa yang penting adalah golongan wanita perlu menerima di antara satu sama lain dan bersedia memberi sokongan serta galakan demi kejayaan bersama. "Dalam suasana masa kini yang agak mencabar, harapan saya agar wujudnya kesepakatan di antara kaum wanita. "Wanita seharusnya menjauhkan budaya cah keting, jatuh menjatuhkan sesama sendiri, mahupun hasut menghasut, dalam keadaan kita menghadapi pilihan raya, sikap sedemikian tidak harus mendapat tempat di kalangan wanita," katanya semasa berucap pada Majlis Minum Petang Bersama Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Negeri Kelantan di sini Sabtu. Majlis itu dihadiri lebih 17 Badan Bukan Kerajaan (NGO) berteraskan sosial dan kebajikan. Seramai 105 anak yatim terdiri daripada pelajar Pertubuhan Puteri Islam di seluruh sekolah di Kelantan termasuk Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima sumbangan wang tunai. Mengenai pencapaian wanita Kelantan, Rosmah berkata masih ramai kaum Hawa di Kelantan yang memerlukan pembelaan dan bantuan. Rosmah berkata selain daripada golongan ibu tunggal dan peniaga kecil, usahawan wanita juga memerlukan sokongan dan bimbingan sewajarnya. "Jika kebajikan kaum wanita tidak dijaga, maka ia akan sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian institusi kekeluargaan kerana golongan wanita adalah pelengkap kepada keutuhan ekonomi keluarga," katanya. - BERNAMA