suria

Agensi Kerajaan Dan Bukan Kerajaan Perlu Sumbang Kepakaran Untuk Tentera

KANGAR: Agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu berganding bahu menyumbang kemampuan dan kepakaran masing-masing kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjayakan konsep keselamatan kolektif, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Jumaat.

Baginda bertitah mereka juga perlu menjadi agen perubahan dengan memastikan setiap warga kerja diberi pendedahan, pengetahuan dan pemahaman secukupnya mengenai konsep kolektif yang menjamin keselamatan negara yang berterusan.

Bertitah merasmikan Sidang Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Se Malaysia (SPJP) ATM kali ke-14 di sini Jumaat, baginda bertitah para pemimpin yang menerajui sektor kerajaan dan swasta juga perlu tampil secara sukarela bagi menjayakan konsep itu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah juga mahu pemimpin di negara ini mengembeling tenaga secara berterusan memberi suntikan dan dorongan padu kepada pembangunan angkatan tentera sukarela bagi meningkatkan lagi jumlah kekuatan keanggotaan serta membangun dalam apa jua bidang atau kepakaran.

Sempena majlis itu, baginda turut berkenan menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Brigadier Jeneral (kehormat) kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain