suria

77 Taska Di P. Pinang Tidak Berdaftar Dengan JKM

GEORGE TOWN: Sebanyak 77 daripada 163 Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan Pusat Jagaan yang beroperasi di Pulau Pinang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Zulkifli Ismail berkata selain itu pemantauan Jabatan itu mendapati sebanyak 20 daripada 68 Pusat Jagaan pula belum berdaftar dengan pihaknya.

Katanya beliau yakin masih banyak Taska dan Pusat Jagaan yang belum dikenal pasti sedang beroperasi di negeri ini.

"Jika mereka masih gagal mendaftar kita boleh ambil tindakan termasuk menutup sementara premis terlibat," katanya kepada pemberita selepas Kempen Jom Daftar Taska dan Pusat Jagaan di sini, Isnin.

Zulkifli berkata tindakan boleh diambil di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993.

Beliau berkata JKM sedang membuat pemantauan berkala bagi memastikan Taska dan Pusat jagaan yang beroperasi di negeri ini mendaftar dengan jabatan itu.

"Kita juga sentiasa memantau pusat yang telah berdaftar bagi memastikan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain