KUALA LUMPUR: Dua puluh penumpang dan dua pemandu terselamat apabila sebuah bas ekspres terbabas di KM299.1 Lebuhraya Plus dari arah utara Bangi ke Kajang, petang Isnin.Ketika kemalangan kira-kira 6.40 petang itu, bas berkenaan adalah dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur. Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada tayar hadapan bas itu yang dikatakan bocor hingga menyebabkan pemandunya tidak dapat mengawal bas lalu melanggar pembahagi jalan di lebuh raya itu.Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah laluan kira-kira setengah jam.Jurucakap Trafik Balai Polis Kajang mengesahkan bahawa kesemua penumpang bas itu selamat.Pemandu pertama bas itu, P.Veluthan, 48, berkata beliau terkejut dengan kejadian itu, namun bersyukur kerana terselamat."Ketika kejadian saya tidak dapat mengawal bas yang saya bawa, saya rasakan tayar bas di bahagian hadapan saya pancit," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.Pemandu kedua bas itu Norhayim Ithnin, 44, berkata bas tersebut berada dalam keadaan baik kerana baru berusia setahun.Menurutnya beliau dan Veluthan tidak mengantuk dan mereka bergilir-gilir memandu bas itu. - BERNAMA