KUALA LUMPUR: Kira-kira 98 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini akan beralih kepada sumber media baru dan laman sosial seperti blog, Facebook serta Twitter sebelum November tahun ini.Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, jumlah itu tidak mustahil dicapai kerana saluran media baru merupakan landasan paling berpengaruh yang berupaya melakukan perubahan sosial di negara ini. "Perkara itu bukan mitos tetapi realiti. Saluran media baru berjaya mencetuskan revolusi sosial di Mesir, Tunisia, Amenia dan Ukraine."Kini media mempunyai kuasa sepenuhnya malah ia begitu kompleks dan boleh menyebarkan maklumat kepada sesiapa saja setiap saat. Perkara itu turut diakui kebanyakan ahli falsafah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Nations On Fire: The Power Of New Media di sini, Khamis.Menurut beliau, peralihan tersebut turut didorong oleh beberapa faktor seperti rakyat mahukan ruang untuk berkongsi pendapat dan terlibat dalam sesuatu perkara kerana dunia sekarang bersifat terbuka.Sehubungan itu, Abu Hassan menggesa media konvensional supaya berubah daripada bersifat primitif dalam menyampaikan maklumat kepada lebih interaktif, terbuka dan menekankan kepelbagaian."Kita perlu menerima perubahan ini. Kita sudah memasuki era perundingan... media moden mesti mengamalkan kepelbagaian."Stesen radio sudah melalui proses perubahan ini. Pelbagai topik turut dibincangkan oleh penyampai radio. Mereka akan berinteraksi secara interaktif bersama pendengar menerusi telefon," jelasnya.Katanya, jika kita tidak melakukan perubahan dari segi politik, ekonomi dan tingkah laku sosial, saluran media baru akan digunakan untuk merencanakan perubahan."Oleh itu, kita perlu menerima Internet sebagai peradaban manusia yang positif. Kita perlu berkongsi emosi, karakter, teknologi sains dan menerima kehadiran media baru," ujarnya.Berdasarkan penelitiannya, beliau percaya kira-kira 92 peratus wartawan di negara ini berkhidmat bersama media konvensional berbanding saluran media baru."Kita mempunyai sebilangan besar para wartawan dari media konvensional. Saya yakin anda merujuk kepada Internet kerana ia dapat menjimatkan masa, ruang dan kos."Orang pertama yang menyebarkan maklumat akan dapat menguasai dunia. Saya pasti media konvensional tidak dapat mengatasinya kerana perlu melalui proses cetakan dan edaran," katanya.Sementara itu, beliau mencadangkan supaya media konvensional bekerjasama dengan media baru dalam menyediakan lebih banyak ruang untuk bersuara dan tidak membataskan hubungan dengan sesiapa saja."Media konvensional tidak seharusnya menjadi alat propaganda kepada sesiapa saja. Jika ingin bersaing dengan media baru, media konvensional perlu bersikap lebih terbuka dalam penyampaian berita," ujarnya.