suria

Video Bukti Polis Tidak Guna Kekerasan Leraikan Perhimpunan Haram Ditayang

KUALA LUMPUR: Tiada kekerasan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika meleraikan perhimpunan haram 9 Julai lepas berdasarkan rakaman video yang ditayangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada wakil media dan awam di Bukit Aman di sini, Khamis.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid berkata selain tiada babak-babak kekerasan yang didakwa dilakukan PDRM ketika menyuraikan perhimpunan tersebut, rakaman video itu juga membuktikan beberapa tohmahan yang dilemparkan sesetengah pihak mengenai perhimpunan itu juga tidak benar.

Rakaman video selama kira-kira satu jam yang disaksikan kira-kira 200 orang termasuk wakil media dan awam di Bukit Aman di sini, dimulakan dengan penjelasan slaid mengenai tohmahan beberapa pihak terhadap polis, seterusnya penayangan beberapa babak perhimpunan itu dan berakhir dengan sidang media.

"Terdapat enam tohmahan yang dilemparkan beberapa pihak antaranya berkisar kepada isu semburan gas pemedih mata di KLCC, sehingga menyebabkan kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad," katanya.

Rakaman CCTV yang ditayangkan kepada media jelas membuktikan tiada semburan pemedih mata yang mengenai Burhanuddin ketika Allahyarham berada di dalam Avenue K.

"Hasil siasatan kita, ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam Avenue K dan ia membuktikan tidak ada langsung gas pemedih mata dikeluarkan polis, ia sekaligus menepis dakawaan itu.

"Allahyarham rebah selepas berlari bersama orang ramai di dalam Avenue K, dan kenyataan itu juga disokong oleh beberapa saksi awam yang telah diambil keterangan," katanya.

Beliau berkata dakwaan bahawa Burhanuddin telah dipukul serta cedera dengan patah tiga batang tulang rusuk dan luka di bibir juga tidak benar kerana hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuhnya dan Burhanuddin disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung.

"Dakwaan bahawa ambulans tiba lewat, sehingga sejam untuk menyelamatkan Burhanuddin juga tidak benar kerana jangka masa yang terdapat di CCTV itu menunjukkan bahawa ambulan tiba kira-kira 17 minit kemudian selepas menerima panggilan 999," katanya.

Rakaman video tersebut juga menunjukkan tiada kekerasan yang dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang antaranya presiden perhimpunan haram itu, S.Ambiga, Mat Sabu, Nurul Izzah, Datuk Awang Hadi dan Tian Chua.

Ketika menayangkan video tersebut, memang tidak terdapat kekerasan dilakukan ke atas kesemua mereka yang telah melakukan provokasi terhadap polis antaranya babak di mana Ambiga kelihatan tenang dan duduk dalam keadaan selesa sambil sempat minum air ketika ditahan polis di KL Sentral. Ada juga babak di mana polis memakaikan topeng penutup hidung dan mulut kepada Nurul Izzah dan dalam video itu itu turut menayangkan keterangan ikhlas Hadi Awang di Lapangan Terbang Terengganu bahawa beliau mengaku menerima layanan yang baik daripada polis kepada penyokong-penyokongnya.

Dalam video tersebut juga menggambarkan tindakan provokasi yang dimulakan dahulu oleh Tian Chua dengan menyerang Light Strike Force (ISF) sebelum memaksa polis menyemburkan gas pemedih mata kepada beliau dan sekumpulan penyokong di KL Sentral. "Kalau kita lihat polis tidak memulakan apa-apa. Kita menggunakan Standard Operation Procedure (SOP) kita sebelum tindakan diambil. Kita beri amaran sehingga sembilan kali dan mereka masih berdegil meneruskan perhimpunan, itu yang memaksa kita semburkan gas pemedih mata," katanya.

Rakaman video itu juga menunjukkan motosikal yang dibonceng oleh Mat Sabu tidak dilanggar Pajero polis seperti didakwa tetapi ketika melakukan pusingan U motosikal itu terkena 'fender' Pajero polis di kawasan Perumahan Seri Persekutuan, yang akhirnya menyebabkan motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan.

"Tidak terdapat sebarang perlanggaran di sini...Ini dibuktikan melalui CCTV yang terdapat di kawasan tersebut. Rakaman itu menyaksikan motosikal yang dibonceng Mat Sabu terbabas ketika melakukan pusingan U dan terlanggar pajero polis," katanya.

Video itu turut menayangkan bagaimana orang ramai ditahan dengan cara baik, diminta menunjukkan kad pengenalan diri dan beg, orang tua yang mengalami sakit pinggang dibantu polis untuk naik di atas kereta polis dan pertanyaan kepada tahanan dengan berhemah.

"Mereka juga tidak digari...Malah, mereka diberi kebenaran untuk menghubungi ahli keluarga...Kesemua yang ditahan juga dihantar ke pusat tahanan sementara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dengan pelbagai persediaan dilakukan antaranya tempat menunggu (untuk proses dokumentasi) yang selesa, makanan dan minuman, tempat bersolat dan berwuduk," katanya.

Salleh berkata di Pulapol juga, terdapat pegawai perubatan di sediakan dengan katil yang selesa untuk rawatan dan terdapat juga pemeriksaan kesihatan.

Katanya, tidak cukup dengan itu, demi menjaga keselamatan tahanan juga polis menyediakan bas untuk menghantar kesemua tahanan itu pulang ke lokasi yang memudahkan mereka menggunakan pengangkutan awam.

Video itu turut menayangkan perusuh yang melakukan provokasi terlebih dahulu sehingga memaksa polis bertindak menyemburkan gas pemedih mata.

Antara babak tersebut adalah di mana perusuh terlebih dahulu menyerang, memanjat kereta polis serta dan membaling objek seperti botol dan membaling semula gas ke arah polis serta menolak pegawai kanan polis.

Dalam video itu turut menayangkan tindakan polis menyembur gas pemedih mata di lorong berdekatan Hospital Tung Shien yang dijadikan isu sesetengah pihak.

"Kita akui kita ada sembur gas pemedih mata berdekatan hospital tersebut.. tapi semburan itu adalah di luar hospital terbabit. Ini kerana ada perusuh di situ.

"Namun kita masih lagi menyiasat kes ini. Jika hasil siasatan kita mendapati terdapat kesalahan atau perlanggaran tatacara tugasan oleh pihak kita, kita akan ambil tindakan," katanya.

Salleh berkata kesimpulan yang boleh dibuat badan penguatkuasa itu adalah PDRM bertindak secara profesional dengan mengikut SOP, dapat menenangkan keadaan dalam masa tiga jam, tiada kematian mahupun kerosakan harta benda berlaku dan walaupun apa pun tohmahan yang dilemparkan, ianya tidak melunturkan semangat PDRM.

"Langkah-langkah awal kita juga dapat mengekang jumlah peserta perhimpunan haram itu. Tidak sampai 300,000 yang hadir, tetapi tidak lebih daripada 10,000 orang pada perhimpunan haram itu," katanya.

Sementara itu Presiden Pengguna Islam Malasyia (PPIM) Datuk Ma'mor Osman yang turut hadir pada penyangan video itu berkata polis telah membuktikan bahawa ia telah melakukan tugas dengan baik, iaitu menjaga ketenteraman awam dan tidak bertindak keras dengan perusuh.

"Namun, saya harap selepas ini, polis akan adakan lagi sidang media dan penayangan video lagi.Saya difahamkan bahawa ada lagi bahagian yang belum ditunjukkan polis.

"Apa yang ditayangkan hari ini adalah apa yang polis ada setakat ini...Ini penting bagi memuaskan hati semua pihak. Polis juga perlu mengambil video -video yang diambil di dalam laman-laman blog untuk dibuat perbandingan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain