KUALA LUMPUR: Wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini terbakar tengah malam Khamis menyebabkan seorang pesakit maut, dipercayai akibat terhidu asap tebal.Pihak pentadbiran HKL ketika dihubungi BERNAMA hari ini mengesahkan kejadian itu tetapi akan hanya mengeluarkan kenyataan petang ini setelah maklumat sebenar mengenai kenyataan itu diperoleh. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi berkata kebakaran dikatakan berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam dan pihak bomba menerima panggilan setengah jam kemudian."Anggota bomba tiba tujuh minit selepas mendapat panggilan dan ketika itu petugas HKL sedang bertungkus lumus memadamkan api serta mengeluarkan asap dari bilik itu kerana cuba menyelamatkan pesakit lelaki berkenaan."Selepas pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran dan mengeluarkan asap dari bilik tersebut, mangsa didapati sudah tidak bernyawa."Pesakit lain yang berada di luar bilik berkenaan terpaksa dipindahkan ke bilik lain kerana dibimbangi asap tebal akan membahayakan nyawa mereka," katanya.Azizan berkata dua jentera bomba dari Balai bomba Chow Kit dan Sentul dengan 20 anggota terlibat dalam operasi memadam kebakaran.