suria

Wanita Penyumbang Kejayaan Negara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perjuangan wanita Umno adalah begitu konsisten dalam mengangkat martabat wanita di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya selaras dengan mesej dalam Al-Quran yang memuliakan wanita, kerajaan menyahut permintaan kaum wanita supaya martabat mereka diangkat ke tahap lebih tinggi.

Selain itu, beliau menyifatkan menyifatkan wanita sebagai faktor penting dalam menyumbang kepada kejayaan dan kesinambungan perjuangan Umno selain mewujudkan keharmonian dan kemajuan negara.

"Saya ingin melahirkan penghargaan terhadap golongan wanita khususnya para muslimat di negara kita. Walaupun sibuk bekerja atau terlibat dalam kegiatan politik dan kemasyarakatan, institusi keluarga tidak dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UmnoO, berkata demikian semasa berucap menutup majlis Tilawah Al-Quran dan pertandingan Nasyid Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam Jumaat.

Begitu juga dengan suri rumah yang tidak pernah jemu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri yang menjadi faktor penting di sebalik kejayaan suami dan keluarga, katanya.

Katanya wanita hari ini telah diletakkan pada kedudukan yang istimewa berikutan pencapaian mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang seperti perniagaan dan politik.

Sementara itu, johan nasyid dimenangi oleh kumpulan Nurjannah dari Johor yang membawa pulang piala, sijil dan pakej lawatan ke Bandung, Indonesia.

Naib juara pula disandang oleh kumpulan Suara Alwanis (Kelantan) dan tempat ketiga oleh kumpulan Nurjannah dari Johor.

Bagi Tilawah Al-Quran, johan qariah ialah Siti Hatijah Mursuki dari Sabah yang membawa pulang pakej Umrah dan piala, naib johan Noraini Saari( Wilayah Persekutuan) yang memenangi pakej lawatan ke Bandung dan tempat ketiga dimenangi Hasnah Ayub (Kedah) yang mendapat pakej lawatan ke Medan, Indonesia dan piala.

Majlis itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. BERNAMA

Artikel Lain