suria

Warga Indonesia Dibunuh Kekasih Di Johor Baharu

JOHOR BAHARU: Seorang warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Ana dipercayai dibunuh oleh kekasihnya di rumah tempat mereka tinggal di Kampung Rumah 10, Plentong di sini Ahad.

Kekasihnya yang juga warga Indonesia yang dikenali sebagai Edy, 28, kemudiannya ditahan polis.

Menurut polis, wanita berusia 28 tahun itu ditemui mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dipercayai dipukul oleh suspek.

Suspek bekerja sebagai jurulektrik.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 10.30 pagi apabila jiran-jiran mendengar jeritan wanita berkenaan meminta tolong.

Mereka kemudiannya melihat lelaki itu sedang memukul mangsa namun diberi amaran oleh suspek agar tidak masuk campur dalam urusan mereka.

Jiran-jiran kemudiannya menghubungi polis.

"Polis masih menyiasat punca kematian dan motif sebenar pembunuhan tersebut. Punca kematian Ana hanya akan diketahui selepas selesai bedah siasat," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Supritendan (DSP) Saifi Abdul Hamid.

Menurut beliau, pasangan berkenaan baru sahaja sebulan menetap di kampung itu.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail sementara kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Turut difahamkan bahawa wanita itu sebelum ini telah memberitahu jiran-jiranya bahawa dia telah membeli barangan keperluan untuk dibawa pulang ke kampungnya pada Hari Raya nanti. - BERNAMA

Artikel Lain