suria

Latihan Bersama PDRM-ATM Permulaan Kerjasama Lebih Padu - PM

PORT DICKSON: Latihan bersama yang julung kali diadakan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan titik permulaan kepada kerjasama lebih erat dan padu antara dua pasukan keselamatan itu demi memelihara keamanan dan keharmonian negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, latihan bersama bersejarah itu telah meruntuhkan tembok pemisah antara ATM dan PDRM yang selama ini bergerak mengikut haluan masing-masing.

"Kerajaan sedar bukan mudah untuk mengadakan latihan bersama seperti ini. Tetapi kita telah berjaya buat pertama kali dalam sejarah negara untuk emecahkan tembok pemisah antara ATM dan polis.

"Mereka tidak lagi bergerak dalam 'silo' masing-masing tetapi mereka sudah berjabat tangan, bermuafakat, berbincang dan bersetuju bahawa polis dan tentera adalah rakan kongsi yang saling bantu membantu demi kepentingan bangsa, agama dan negara," katanya ketika berucap sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Perdana ATM-Polis, di sini, Sabtu.

Pada majlis itu seramai 984 orang konstabel polis dan 2,107 perajurit muda, termasuk 194 anggota wanita menyempurnakan acara yang julung kali diadakan di negara ini.

Latihan bersama ATM-PDRM itu merupakan ilham Perdana Menteri sendiri di bawah Strategi Laut Lepas Kebangsaan (NBOS).

Najib berkata kejayaan latihan bersama itu juga membuktikan kedua-dua pasukan telah mengatasi cabaran utama strategi Lautan Biru, iaitu mendapatkan hasil yang maksimum dengan input yang minimum dan wang rakyat dapat dijimatkan.

"Manfaat dari kerjasama ini telah dapat kita lihat, negara akan dapat keuntungan, pihak polis akan mencapai objektifnya untuk mengurangkan kadar jenayah, pihak tentera akan dapat kesan daripada pulangan seperti hasil tambahan kepada mereka.

"Negara tentu akan dapat keuntungan dan kerajaan juga dapat menjimatkan perbelanjaan. Ini yang dikatakan menang-menang atau 'win win situation' untuk semua," katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengingatkan warga ATM dan PDRM untuk memperluaskan hubungan dan pendekatan mereka dengan rakyat agar masyarakat dapat lebih memahami tanggungjawab dan tugas pasukan keselamatan.

Katanya ini merupakan cabaran kepada ATM dan polis kerana pada abad ke-21 ini mereka berdepan dengan masyarakat yang lebih berilmu dan bermaklumat yang semakin kritikal dalam menilai apa yang dilakukan.

"Oleh itu kita harus membuat penyesuaian kepada cara berfikir, cara bertindak dan cara membuat keputusan supaya rakyat akan sentiasa menyokong, memahami dan menerima baik segala yang dilakukan oleh kerajaan, sama ada oleh ATM ataupun polis.

"Kalau kita dapat melakukan 'engagement' dengan rakyat secara meluas, maka rakyat akan memahami apa yang kita lakukan dan tindakan yang kita ambil," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu rakyat terpengaruh dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyelewengkan fakta yang sebenarnya, membuat perbohongan untuk cuba mencemar nama baik kerajaan ataupun institusi yang amat penting seperti tentera dan polis.

Najib berkata, pendekatan memenangi hati rakyat telahpun diguna pakai ketika negara berdepan dengan ancaman komunis dan faktor itu menjadi antara sebab kejayaan pasukan keselamatan negara dalam menangani ancaman berkenaan.

"Pada saya ini merupakan asas yang amat penting dalam abad ke-21. Cuma yang berbeza ialah cara atau metadologi untuk mencapai hasrat memenangi hati dan fikiran rakyat," katanya.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata semua pihak harus memahami bahawa walaupun persekitaran negara sudah berubah, tetapi pendekatan memenangi hati dan fikiran rakyat terus menjadi asas untuk berjaya sebagai anggota polis dan tentera.

Beliau juga berkata pasukan keselamatan perlu memperlihatkan imej yang positif, menunjukkan ketrampilan yang berkesan dan mesti mengamalkan sikap positif.

"Kalau kita mengingatkan diri perkara seperti ini, saya yakin dan percaya kita akan menjadi anggota polis dan tentera yang sentiasa disanjung tinggi, dihormati dan dapat menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara dengan berkesan," katanya.

Bagi kerajaan, institusi ATM dan PDRM merupakan tiang seri kepada negara sebab itulah ia harus dijaga, dipertahan, disokong dan didukung, katanya.

Najib dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan kepada keluarga anggota ATM dan PDRM yang telah membenarkan anak-anak mereka menyertai pasukan keselamatan negara itu.

Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian imbuhan RM1,000 sebulan kepada pemenang Pingat Tentera Udara (PTU) dan penerima pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) sempena sambutan Hari Pahlawan esok.

Bagi penerima PTU dan JPP yang meninggal dunia, keluarga masing-masing akan menerima imbuhan sebanyak RM10,000, katanya. BERNAMA

Artikel Lain