suria

Operasi Penerbangan Pangkalan TUDM Sg Besi Mula Berhenti 30 Nov Ini

KUALA LUMPUR: Operasi penerbangan di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di sini akan ditutup secara berperingkat-peringkat mulai 30 November ini, dengan hanya operasi penerbangan helikopter dibenarkan menggunakan pangkalan itu.

Panglima TUDM, Tan Sri Rodzali Daud berkata operasi penerbangan kapal terbang akan dipindahkan ke lapangan terbang dan pangkalan udara TUDM yang lain.

Ini bagi membolehkan pemaju 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memulakan kerja-kerja pembangunan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek sumbangan kepada pelari solo Projek Larian Sahara Mesir, Suwaibah Muhammad Nasir di Muzium TUDM di sini, Selasa.

Rodzali berkata, operasi penerbangan perlu diberhentikan bagi memudahkan kerja-kerja pembangunan di kawasan itu seperti membina cerucuk tinggi yang tidak boleh dilakukan kerana laluan udara digunakan oleh helikopter dan kapal terbang.

Pada Jun lepas, 1MDB, pemaju induk Bandar Malaysia yang merupakan syarikat pembangunan strategi milik kerajaan, telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi pemindahan tanah lapangan terbang Sungai Besi seluas 196.6 hektar kepada 1MDB.

Mengenai kedudukan muzium dan masjid TUDM di pangkalan udara itu, Rodzali berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan antara pihaknya dan 1MDB.

Bagaimanapun, TUDM ingin mengekalkan kedua-dua aset itu di kawasan tersebut, katanya. Rodzali berkata selain itu, "kita sedang berbincang dengan IMDB bagi proses pemindahan aset, prasarana dan kemudahan yang ada di pangkalan ini ke pangkalan baru iaitu di Subang, Selangor, Sendayan (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang) seperti logistik, skuadron, kediaman dan mes pegawai.

"Apa yang paling penting ketika ini adalah mewujudkan dan membina sistem perintah dan kawal di Subang bagi membolehkan operasi di sini dipindahkan ke pangkalan baru itu (Subang)." katanya yang menjangkakan keseluruhan projek pembangunan dan pemindahan dapat siapkan pada 2016.

Beliau berkata pangkalan TUDM Subang akan dijadikan pangkalan untuk perintah dan kawal manakala di Sendayan pula sebagai pangkalan latihan penerbangan dan Kuantan bagi menempatkan lain-lain aset TUDM.

Satu mesyuarat susulan mengenai pembangunan Sendayan dan Subang akan diadakan pada 14 Februari tahun depan yang akan merangkumi aspek perjanjian reka bentuk untuk projek di Sendayan dan projek segera bagi Subang.

Terdahulu beliau menyampaikan cek bernilai RM2,500 kepada Suwaibah bagi menjayakan misinya untuk menjadi wanita pertama dalam dunia merentasi Gurun Sahara sebagai pelari solo.

Sementara itu Suwaibah berkata, antara cabaran yang bakal ditempuhinya adalah cuaca ekstrem antara 30 hingga 50 celcius pada siang hari, selain faktor kecergasan dan keselamatan seperti ketegangan otot dan ancaman ribut pasir.

Suwaibah yang juga bekas anggota Pasukan Simpanan Sukarela TUDM (PSSTUDM) akan memulakan larian sejauh 1,111 kilometer pada 11 November tahun ini.

Artikel Lain