LAHAD DATU: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengeluarkan nama pengundi berumur 90 tahun ke atas daripada daftar pemilih adalah wajar bagi mengelak pelbagai tohmahan liar terhadap badan bebas itu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.Beliau berkata langkah berkenaan boleh dianggap sebagai sebahagian daripada usaha berterusan SPR membersihkan daftar pemilih daripada pemilih yang tidak lagi layak berada di dalam senarai daftar pemilih. "Jika mereka (SPR) dapati ada anggota (pemilih) yang sudah tidak aktif sekian lama maka proses pembersihan ini harus dilakukan."Tidak aktif bukan hanya bermakna pemilih tidak pernah mengemas kini maklumat mereka dengan SPR kerana berpindah dari satu tempat ke tempat lain tetapi juga langsung tidak turun mengundi ketika pilihan raya," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Pergerakan Pemuda Umno Silam di sini Sabtu.Shafie mengulas kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa SPR dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara akan mengeluarkan 12,000 nama berumur 90 tahun ke atas daripada daftar pemilih berkuatkuasa serta merta.Shafie berkata langkah SPR itu bagaimanapun tidak bermakna SPR menafikan hak pemilih berumur 90 tahun ke atas untuk menunaikan hak sebagai pengundi kerana mereka diberi ruang untuk memaklumkan SPR jika ingin aktif semula."Jadi untuk mengelak tohmahan atau rungutan atapun tuduhan pihak-pihak tertentu maka eloklah SPR membersihkan daftar pemilih itu. Saya menyokong penuh langkah ini kerana pada masa sama SPR tidak nafikan hak golongan itu yang ingin aktif semula," katanya. - BERNAMA