suria

Bekas COO, Ketua Pegawal Kewangan Pempena Bebas Tuduhan Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Pempena Sdn Bhd, Mohammad Rosly Md Selamat dan bekas Ketua Pengawal Kewangannya (CFC), Lim Khing Tai pada Rabu, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan jumlah RM169, 770 lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk beliau memanggil mereka membela diri.

Perbicaraan melibatkan lapan saksi pendakwaan.

Pada penghakimannya, Rozana berkata, pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan bahawa Mohamad Rosly dan Lim telah menyalahgunakan dana Pempena, dan mereka hanya menandatangani cek tersebut atas arahan daripada pegawai atasan.

“Mahkamah mendapati pengeluaran wang oleh dua tertuduh adalah dibuat atas arahan dan dilakukan dalam suasana terbuka dan tidak disembunyikan,” katanya.

Selain itu, Rozana juga berkata, tiada bukti yang dapat menunjukkan bahawa kesalahan itu dilakukan dengan niat bersama selain tiada bukti bahawa wang tersebut adalah untuk kegunaan peribadi Mohamad Rosly atau Lim.

Mohamad Rosly dan Lim didakwa atas tuduhan dengan curangnya telah menggunakan wang yang diamanahkan kepadanya untuk membayar seorang ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali menerusi empat keping cek Bumiputera Commerce Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Ogos 2006, di pejabat Pempena di Tingkat 29, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Wang tersebut didakwa sebagai bayaran penajaan bagi penganjuran konsert penyanyi dari Timur Tengah, Amir Diab, sedangkan mereka didakwa mengetahui bahawa pembayaran tersebut masih belum mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Pempena.

Pempena adalah Pembangunan Pelancongan Nasional Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada Tourism Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Anas Mahadzir mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Mohamad Rosly diwakili oleh peguam-peguam G. Ragunaran dan Rajinder Singh manakala Lim diwakili peguam Cheow Wee.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan