suria

Anggota PDRM Digalak Kuasai Lebih Dua Bahasa

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digalakkan supaya menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa selain bahasa kebangsaan bagi membantu menaikkan imej dan prestasi cemerlang pasukan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemahiran berinteraksi dan komunikasi yang berkesan sangat diperlukan terutama bagi meluaskan imej dan kredibiliti anggota polis.

"Dalam zaman yang moden dan mencabar ini anggota polis harus mempunyai kemahiran tinggi bagi menilai dan menangani sesuatu situasi dengan pantas dan tepat," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra PDRM di Maktab PDRM Kuala Lumpur di Cheras, Khamis.

Selain itu Muhyiddin berkata PDRM perlu menangani isu persepsi masyarakat terhadap pasukan itu dengan berkesan terutamanya bagi anggota yang diberi tanggungjawab penguatkuasaan.

Menurut Muhyiddin lagi, polis tidak terlepas daripada risiko persepsi yang boleh memberi kesan positif atau sebaliknya terhadap hubungan dan kerjasama antara masyarakat dan anggota pasukan keselamatan.

"Tidak dinafikan antara cabaran utama PDRM pada masa kini adalah mengenai persepsi berhubung rasuah dan kekerasan ke atas orang kena tahan oleh anggota PDRM.

"Kerajaan yakin selaras dengan usaha PDRM mengukuhkan budaya integriti dan urus tadbir yang lebih tinggi di samping berkomunikasi secara kreatif dengan isu rakyat pelbagai peringkat secara berterusan, maka isu-isu persepsi yang dibangkit tersebut akan dapat ditangani dengan berkesan," katanya.

Tambah beliau kerajaan telah menjalankan penilaian berkala berhubung persepsi masyarakat terhadap PDRM melalui soal selidik 'Meningkatkan Kepuasan Rakyat Terhadap Prestasi PDRM'.

"Soal selidik terkini menunjukkan sebanyak 55 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi PDRM, satu peningkatan yang baik, berbanding 35 peratus pada tahun 2009 apabila soal selidik itu pertama kali dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan kadar indeks jenayah dan jenayah jalanan, persepsi masyarakat tetap perlu ditingkatkan lagi supaya mereka yakin apa yang dilakukan oleh PDRM dapat membawa impak yang baik daripada aspek menjaga keselamatan.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini kadar indeks jenayah negara mencatatkan penurunan 9.6 peratus iaitu sebanyak 8,537 kes manakala jenayah jalanan pula menurun 41.6 peratus iaitu 11,299 kes berbanding 19,346 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan