suria

Tindakan Tegas Peniaga Jual Produk Kecantikan Mengandungi Racun Berjadual

PAPAR: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga atau pengedar yang didapati menjual produk kecantikan yang mengandungi racun berjadual.

Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata para pegawai penguat kuasa kementerian itu sentiasa 'turun padang' untuk memantau dan membuat pemeriksaan di premis-premis yang menjual produk kesihatan termasuk produk kecantikan dan pelangsingan badan.

"Kalau kita dapati ada laporan … kita akan ambil tindakan. Di Sabah pihak kita ada menerima laporan namun jumlahnya agak rendah berbanding negeri-negeri lain.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita tidak sentiasa 'turun padang' untuk membuat pemantauan di kedai-kedai yang menjual produk kesihatan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran beliau di Dewan Masyarakat Papar, di sini, Khamis.

Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk kecantikan bagi mengelak kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.

"Kita minta para pengguna supaya sentiasa meningkatkan kesedaran dan sebelum menggunakan sesuatu produk, sila dapatkan nasihat daripada doktor.

"Ini kerana kadang-kadang penjual atau pengedar mendakwa produk itu berunsurkan kesihatan tetapi sebenarnya mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan