KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan penggubalan dua undang-undang baru yang sesuai bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara disambut baik oleh anggota kabinet.Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata perubahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merupakan satu anjakan baru dalam pentadbiran perundangan negara serta memberi peluang kepada rakyat mendapat hak asasi manusia yang lebih besar. "Pengumuman ini juga sekali gus akan menangkis segala tohmahan pembangkang yang selama ini menuduh kerajaan sering menyalahgunakan undang-undang tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas Najib mengumumkan perkara itu dalam perutusannya di Angkasapuri dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan RTMi malam Khamis.Menyifatkan pembaharuan itu akan memberi keyakinan yang lebih besar daripada dunia luar kepada Malaysia khususnya dalam menegakkan hak asasi manusia, Rais berkata, beliau (Najib) adalah Perdana Menteri pertama yang berani melakukan pembaharuan ini sejak undang-undang itu diperkenalkan pada tahun 1960, dan selaku kerajaan hasrat ini perlu direalisasikan yakni selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).Bagaimanapun, katanya, sikap waspada perlu seiring dengan pembaharuan itu diikuti dengan membuat persedian dalam mempertahankan negara daripada ancaman dalaman dan luaran."Badan kehakiman kita perlu diberi sepenuh kepercayaan untuk mentadbir dua undang-undang baru yang akan digubal nanti manakala pihak polis perlu membuat persedian rapi supaya pentadbiran anti jenayah dan anti terorisme berjalan dengan baik," katanya.Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata reformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri perlu diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak tanpa melihat ia dari perspektif politik yang sempit."Pembangkang akan mendakwa ia (pemansuhan ISA) adalah perjuangan mereka... walhal, ini adalah janji-janji Perdana Menteri yang akan ditunaikannya sejak beliau menerajui pentadbiran dan Alhamdulillah, tuntutan dan kemahuan rakyat telah dipenuhinya," katanya.Katanya, adalah tidak wajar juga untuk pembangkang mengatakan pemansuhan ISA adalah perjuangan mereka memandangkan ia turut diperjuangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana terdapat di kalangan peimpin parti itu yang turut pernah ditahan di bawah akta tersebut.Pendapat sama turut disuarakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang mahu pemansuhan ISA itu diterima secara ikhlas dan tidak dibayangi prasangka buruk oleh rakyat kerana setiap pembaharuan yang dilakukan kerajaan telah dibuat kajian dengan teliti."Jangan pula ada yang berprasangka apabila sesuatu yang baik dilakukan kerajaan ia bukannya untuk menarik perhatian untuk pilihan raya."Ini satu proses yang menunjukkan kita peka kepada permintaan rakyat, isyarat ini yang diambil kira oleh kerajaan iaitu rakyat sudah memberi gambaran jelas tentang apa yang mereka mahu dari segi keterbukaan, kebebasan untuk bersuara dan juga memilih perjuangan politik yang berbeza."Saya rasa ini ini juga satu penemuan dan tindakan cukup baik yang sepatutnya diterima baik oleh semua masyarakat," katanya.Menyentuh mengenai pembaharuan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel pula berkata dengan pemansuhan pembaharuan lesen secara tahunan akan memberi nafas baru kepada industri pencetakan dan media massa."Satu pengumuman yang tepat pada masanya, Perdana Menteri telah meliberalisasikan industri ini seiring dengan kemajuan global," katanya. - BERNAMA