BUTTERWORTH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk membaiki kemudahan dan mengecat semula empat blok flat di Taman Retina, Permatang Berangan di sini.Muhyiddin berkata langkah itu bagi memberikan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan. "Hasil perbincangan dengan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan Shabudin Yahya, kerajaan bersetuju memperuntuk RM1 juta kepada Taman Retina."Peruntukan itu untuk mengecat empat blok rumah flat lima tingkat dan membaiki kemudahan di taman terbabit agar penduduk di situ mendapat kemudahan lebih baik," katanya semasa berucap selepas melawat tapak projek landasan kereta api berkembar, di sini Sabtu.Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang.Sementara itu, beberapa penduduk Taman Retina yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana meluluskan peruntukan mengecat dan membaiki kemudahan di kawasan tersebut.Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Retina S.Muniandy berkata penduduk di kawasan itu memang memerlukan peruntukan berkenaan kerana banyak kemudahan asas di situ rosak."Kami berterima kasih kepada kerajaan persekutuan terutama Timbalan Perdana Menteri kerana meluluskan peruntukan RM1 juta hari ini."Peruntukan itu memang dinanti-nantikan penduduk kerana telah sekian lama kami memohon bagi baik pulih kemudahan di Taman Retina dan berharap ia dapat dijalankan secepat mungkin," katanya. - BERNAMA