suria

Dua Maut Apabila Kereta Terbakar Di Tumpat

TUMPAT: Dua orang yang dipercayai penyeludup mati rentung di dalam kereta yang mereka naiki setelah ia terbakar selepas terjunam ke dalam tali air di Kampung Kok Seraya di sini malam tadi.

Kedua-duanya dipercayai cuba melarikan diri apabila menyedari terdapat sekatan jalan oleh anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kampung berkenaan.

Kereta Proton Iswara itu didapati membawa 30 tong diesel yang dipercayai punca kebakaran itu berlaku.

"Kereta itu dikatakan membuat pusingan U bila nampak sekatan. Mungkin mereka menyangka ia adalah sekatan polis.

"Kereta berkenaan cuba mengelak sekatan itu sebaliknya terbabas dan dikatakan bergolek beberapa kali ketika terjunam ke dalam tali air kering itu sebelum terbakar, kira-kira 100 meter dari lokasi sekatan tersebut," kata Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Annuarul Hakim Mohny kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, identiti kedua-dua mangsa belum dapat dikenal pasti kerana mereka dan kenderaan yang terlibat rentung habis.

Pihak bomba yang dihubungi anggota SRS kira-kira 10.20 malam mengambil masa kira-kira setengah jam bagi memadam kebakaran dan menemui dua mayat, katanya.

Mayat telah dihantar ke Hospital Tumpat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain