suria

298 Keping Pelbagai Kad Ditemui

ALOR SETAR: Penemuan kira-kira 298 dokumen penting termasuk MyKad, MyKid, kad ATM dan lesen memandu yang dijumpai di tepi jalan dan di dalam tali air di sini mencetuskan tanda tanya di kalangan penduduk kampung.

Polis menghantar anggotanya untuk meninjau keadaan jalan dan tali air yang menghala ke Kampung Seberang Pumpong ekoran laporan polis yang diterima daripada penduduk kampung pada pukul 9.30 pagi.

Berdasarkan alamat pada kad tersebut, pemiliknya dipercayai berasal dari pelbagai negeri termasuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Baharom Abu berkata, mereka menemui 102 keping kad pengenalan (MyKad dan MyKid), 126 lesen memandu, 51 kad ATM pelbagai bank dan 19 kad keahlian pengguna termasuk kad diskaun.

Katanya, siasatan awal menunjukkan kad-kad tersebut mungkin dibuang oleh penjenayah.

Baharom berkata, kad berkenaan dipercayai dicuri dari kes ragut, pecah rumah dan pecah cermin kereta.

"Kami percaya kad itu dilupuskan di sini beberapa hari lalu," katanya.

Beliau menggesa sesiapa yang kehilangan kad-kad berkenaan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk membuat tuntutan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata penduduk turut menyedari tentang kad-kad itu yang bertaburan di tepi jalan, tepi tebing dan dalam tali air sejak Jumaat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain