suria

400,000 Pengunjung Dijangka Lawat Taman Iklim Sederhana Empat Musim

SHAH ALAM: Kira-kira 400,000 pengunjung dijangka melawat Taman Iklim Sederhana Empat Musim di Taman Botani Negara Shah Alam di sini yang berwajah baru selepas ditutup selama tiga bulan untuk kerja pengubahsuaian.

Pengurus Taman Botani Negara Shah Alam Mohammad Gaddafi Denis berkata pihaknya yakin mampu menarik jumlah pengunjung yang lebih ramai selepas taman itu dinaik taraf dan menjalani proses ubah suai dengan peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata kerja pengubahsuaian itu termasuklah membaiki bahagian-bahagian terjejas seperti bangunan, sistem pengudaraan dan landskap setelah ia dibuka secara rasmi pada tahun 1991 dan menarik ramai pengunjung untuk merasai empat musim iaitu sejuk, luruh, bunga dan panas.

"Kalau boleh, kita nak hampiri rekod pengunjung pada tahun 1991 seramai 500,000 orang dan kita rasa sasaran itu dapat dicapai. Kebiasaannya, musim bunga dan musim sejuk menjadi tarikan ramai," katanya.

Mohammad Gaddafi berkata pelbagai jenis pokok yang hidup di negara empat musim ditanam di dalam taman itu seperti pokok bunga Sakura, Magnolia, Ginko, Maple, dan Epal selain terdapat 68 spesies tumbuh-tumbuhan hidup ditanam secara semula jadi.

Beliau berkata bayaran masuk ke taman itu juga sangat berpatutan iaitu RM3 bagi golongan dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

"Tidak perlu ke luar negara jika ingin rasai musim yang tiada di Malaysia, datang sahaja ke Taman Iklim Sederhana Empat Musim yang beroperasi setiap Selasa hingga Ahad termasuk cuti umum mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain