SEGAMAT: Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata kementeriannya akan membentangkan Akta Persaraan Swasta pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan untuk mendapat kelulusan.Katanya akta tersebut perlu mendapat kelulusan Parlimen sebelum kerajaan bersetuju dengan sebarang tuntutan menetapkan had umur pekerja di sektor swasta. Beliau bercakap kepada kepada pemberita ketika mengiringi lawatan kerja Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor melawat tapak projek menaik taraf jalan Segamat-Tangkak-Muar di sini, Khamis."Sudah ada permintaan supaya umur persaraan antara perkhidmatan awam diselaraskan dengan swasta. Jadi kita akan menggubal Akta Persaraan Swasta dan membentangkannya pada sidang Parlimen secepat-cepatnya bulan depan," katanya yang juga Anggota Parlimen Segamat.Katanya beberapa kesatuan sekerja seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mencadangkan agar had umur persaraan swasta dinaikkan kepada 60 tahun daripada 55 tahun yang ada sekarang.Mengenai pelaksanaan projek menaik taraf jalan Segamat-Tangkak-Muar kepada empat lorong yang akan bermula November depan, beliau yakin projek tersebut akan dapat menarik pelabur-pelabur dari luar datang melabur ke daerah itu apabila ia siap kelak."Ia akan menjadikan Segamat setanding dengan daerah-daerah lain yang kedudukannya lebih hampir dengan laluan Lebuh Raya Utara Selatan," tambahnya. -BERNAMA