suria

Airod Tinjau Kerjasama Untuk Kukuhkan Kedudukan Sebagai Pakar MRO

KUALA LUMPUR: Airod, syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat milik Malaysia, sedang meninjau kerjasama lebih erat dengan Malaysian Aerospace Engineering (MAE) selaras dengan aspirasinya untuk menjadi MRO kerangka pesawat udara terbesar dunia.

Malaysian Aerospace Engineering (MAE) merupakan anak syarikat Malaysia Airlines (MAS).

Tan Sri Ahmad Johan, Pengerusi Eksekutif National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI), syarikat pegangan Airod, berkata, peserta MRO di seluruh dunia kini bergabung untuk memaksimumkan penggunaan kapasiti memandangkan hanya peserta besar yang dapat bertahan.

Beliau berkata gabungan sumber-sumber MAE dan Airod, akan meletakkan kedudukan gabungan entiti ke pasaran pertumbuhan tinggi seperti China dan India serta membawa Malaysia sebagai peserta MRO terkemuka.

"Dengan menggabungkan kekuatan kedudukan MAE dalam pasaran MRO di India serta kehadiran Airod di China baru-baru, akan meletakkan Malaysia sebagai peserta yang hebat dalam pasaran MRO yang besar," kata Ahmad dalam satu temu bual dengan Bernama.

Asia Pasifik, China dan India apabila digabungkan, mengikut laporan industri terkini, akan menjadi pasaran MRO yang lebih besar dari Eropah dan Amerika Utara pada 2019. Ia akan mempunyai saiz pasaran US$17.1 bilion.

MAE adalah peserta MRO ketiga terbesar global dari segi jumlah jam mengendali kerangka pesawat udara.

Ia telah menjalin usaha sama dengan GMR Hyderabad International Airport Ltd, anak syarikat GMR Infrastructure Ltd dari India, untuk mendirikan kemudahan MRO di Hyderabad, India, yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

"Kami kini memberi tumpuan terhadap rancangan kami untuk bergerak secara agresif ke dalam MRO komersial dan China dalam agenda kami," katanya.

Ahmad yakin Airod boleh bersaing secara berkesan dalam pasaran MRO yang berkembang pesat di China.

Pada masa ini, MRO utama China di bahagian timur negara itu dengan ST Aerospace, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Singapura, mempunyai dua MRO di Shanghai dan Guangzhou.

Langkah Airod ke bahagian barat China, katanya, akan menyediakan peluang bagi syarikat itu meneroka bidang pertumbuhan tinggi untuk kerja-kerja MRO.

"Lapangan terbang yang baru, yang dijadualkan akan memulakan operasi pada Januari 2013, akan menjadi hab penerbangan keempat terbesar di China dan menarik sejumlah besar syarikat penerbangan tambang murah dan domestik yang lebih kecil, " kata beliau.

Ahmad berkata, kerajaan Yunnan telah memberi konsesi bagi Airod menubuhkan kemudahan MRO pihak ketiga di Lapangan terbang Antarabangsa Kunming.

Beliau menambah, pembangunan berkenaan secara berperingkat-peringkat untuk menyediakan perkhidmatan MRO bagi pesawat berbadan sempit dan pesawat berbadan lebar serta penukaran kargo dan naik taraf di Lapangan terbang Antarabangsa Kunming pada akhir 2012.

Kunming, katanya, adalah hab perniagaan baru dan destinasi untuk pelabur, kerana lokasinya yang strategik serta struktur kos yang kompetitif.

"Kami menyasar perolehan RM1 bilion daripada kemudahan MRO di Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming menjelang 2015," kata beliau.

Ahmad berkata, pelaburan Airod di China sebanyak AS$200 juta pada mulanya, akan menjadi langkah utama untuk mempelbagaikan aktiviti kepada MRO komersial, terutamanya sebagai kerja-kerja tentera berkurangan dengan penyelenggaraan yang kurang intensif dan pesawat ketenteraan baru di pasaran.

"Penurunan perbelanjaan ketenteraan global memaksa Airod mengkaji semula model perniagaan MRO dan memulakan kerjasama Airod dan MAS untuk berkongsi sumber dan mengembangkan perniagaan MRO komersil," kata beliau.

MAS dan Airod menandatangani perjanjian terma am (GTA) pada 20 Julai, 2011 bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja mahir dan sumber.

Ahmad juga menjelaskan, Airod telah memulakan program perkongsian pintar dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perkongsian itu adalah untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia TUDM melalui latihan dengan Airod dan juga memberi peluang kepada anggota tentera udara yang telah bersara untuk bekerja dengannya.

"Ini membolehkan kami untuk meningkatkan pasaran MRO global dalam memenuhi modal insan yang diperlukan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain