KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 motosikal disita dan 130 saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan dalam operasi bersepadu mencegah kesalahan lalu lintas dan lumba haram di Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut di sini, malam tadi.Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Cawangan Trafik Kuala Lumpur DSP Ng Sook Long berkata operasi itu, yang dijalankan Polis Trafik dan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur bersama-sama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar, bermula dari pukul 11.30 malam dan berakhir pada pukul 3 pagi. Operasi itu melibatkan 68 anggota polis trafik dan narkotik serta 17 anggota JPJ dan 20 Jabatan Alam Sekitar.Ng berkata pemilik motosikal yang disita berusia antara 18 dan 30 tahun dan kebanyakannya melakukan kesalahan mengubah suai motosikal."Polis mengeluarkan 130 saman trafik atas pelbagai kesalahan termasuk 58 saman atas kesalahan ubai suai kenderaan, penggunaan cermin gelap melebihi had dan dua saman kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya ketika dihubungi Bernama. - BERNAMA