suria

120 Anggota APMM Sertai Pra-Eksesais Maritim Perkasa

JOHOR BAHARU: Seramai 120 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menyertai Latihan Pra-Eksesais Maritim Perkasa untuk menguji tahap keupayaan pegawai dan anggota di perairan Laut China Selatan.

Ketua Penguatkuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, latihan yang diadakan selama tiga hari bermula 1 Nov itu melibatkan kapal KM Sempadi, KM Ramunia, KM Tegas dan KM Marudu.

"Dalam fasa pertama latihan, pegawai dan anggota diberi taklimat pendedahan berkaitan taktikal komunikasi kapal, prosedur senggaraan dan tatacara penembakan meriam 40/70mm.

"Masuk fasa kedua pula, mereka didedahkan dengan latihan teori dan praktikal penembakan, latihan komunikasi dan pandu arah terang dan gelap yang diadakan di jeti Kastam Stulang Laut," katanya di sini Jumaat.

Pada fasa ke tiga katanya, peserta mempraktikkan apa yang dipelajari seperti melaksanakan evolusi pandu arah terang dan gelap, menguji tahap kecekapan operator dalam melaksanakan setiap pengendalian pergerakan taktikal yang melibatkan komunikasi antara kapal ke kapal dan menguji keupayaan sistem persenjataan berat kapal dengan melakukan ujian penembakan meriam 40/70mm.

Menurut Zulkifili, latihan yang dikoordinasi oleh Cawangan Penguatkuasaan dan Eksesais APMM Putrajaya bertujuan memastikan setiap sistem komunikasi, jentera, sistem persenjataan kapal sentiasa berada dalam tahap siap siaga yang tinggi pada setiap masa.

Latihan Pra-Eksesais Maritim Perkasa yang diadakan di perairan Pengerang sehingga Laut China Selatan diharapkan dapat mewujudkan situasi aman dan sejahtera dengan memberi keyakinan kepada pengguna laut dari segi keselamatan kepada komuniti maritim di Zon Maritim Malaysia.

Ia juga bertujuan menilai kesiapsiagaan APMM Wilayah Selatan dalam menghadapi apa jua situasi sama ada dalam membanteras penyeludupan, rompakan di laut atau operasi carilamat dalam perairan negara.

Beliau menerangkan di bawah Seksyen 17 Akta 633 Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004, APMM juga diletakkan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa darurat, krisis khas atau perang.

Sejak ditubuhkan, pelbagai kejayaan dilakar khususnya dalam membanteras jenayah atau melibatkan kesalahan undang-undang maritim seperti penyeludupan dan rompakan di laut.

APMM katanya akan terus mempertingkatkan kemahiran setiap pegawai dan anggota bagi menghadapi sebarang kemungkinan di laut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain