GEORGE TOWN: Rakyat Pulau Pinang diingatkan supaya 'buka mata' berhubung usaha berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) membawa pembangunan ke negeri ini menerusi pelbagai jenis pelaburan sama ada dari dalam (DDI) atau luar negara (FDI) walaupun negeri ini diperintah oleh kerajaan pembangkang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pendedahan itu juga penting bagi mengelak kekeliruan di kalangan rakyat dengan tindakan sesetengah pihak yang hanya mahukan publisiti sedangkan kerja keras dilakukan pihak lain. "Perkara ini perlu disebut sekali lagi supaya rakyat negeri ini lebih jelas dan tahu siapa sebenarnya yang berusaha untuk membangunkan negeri ini, kita tidak mahu segelintir pihak yang hanya mahukan nama, atas usaha orang lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pulau Pinang di sini, Sabtu.Antara lain mesyuarat itu turut membincangkan persiapan menghadapi musim banjir dan penjanaan ekonomi yang lebih berkesan."Usaha yang dilakukan oleh kerajaan BN bukan bersifat diskriminasi, semua rakyat akan memperoleh faedah daripada usaha yang dilakukan oleh kerajaan pusat dan agensi di bawahnya," katanya.Nor Mohamed berkata kerajaan pusat tetap membawa masuk pelaburan ke negeri ini walaupun sepanjang tempoh tiga tahun Pulau Pinang diperintah oleh kerajaan pembangkang. Ini untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan BN terhadap keperluan dan kebajikan rakyat, katanya. -BERNAMA