suria

Rakyat Diingat Tidak Terpengaruh Fitnah Menjelang PRU-13

BESUT: Rakyat diingatkan agar berwaspada supaya tidak terjerat dengan fitnah yang dilemparkan oleh pelbagai pihak yang ingin meraih simpati untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 dan seterusnya memerintah negara.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata pihak yang ingin memenangi pilihan raya kini semakin terdesak hingga sanggup berbuat apa sahaja termasuk mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.

Katanya, terbaharu pihak-pihak berkenaan membuat tuduhan dengan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang pulang awal selepas selesai mengerjakan wukuf di Arafah sebagai tidak sah dan gagal mengerjakan haji.

"Ini satu fitnah dan pembohongan yang dibuat oleh mereka yang jahil dalam mendalami ilmu-ilmu mengerjakan haji semata-mata untuk menimbulkan pandangan serong masyarakat terhadap pemimpin negara," katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Lay Out Padang Luas Dalam dekat Jerteh di sini.

Dr Abdullah yang juga Anggota Parlimen Besut berharap rakyat tidak lalai dengan cerita-cerita tidak berasas di bawa pihak berkenaan selain menilai sendiri usaha yang dilakukan pemimpin yang ada kini dalam memakmurkan negara.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan 12 buah basikal kepada anak-anak penduduk di kawasan berkenaan melalui peruntukan 'Program Pemimpin Bertanya Khabar Orang Kampung' yang disalurkan khas untuk mereka yang memerlukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain