suria

Abu Hassan Ceria Hadiri Sidang DUN Kedah Selepas 21 Bulan Menunggu

ALOR SETAR: Selepas 21 bulan bersabar dan menunggu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif kembali menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membenarkan permohonan Adun itu untuk mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan pada 2 Nov lalu yang melarangnya menghadiri sidang berkenaan.

Abu Hassan yang ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Penggal Keempat Mesyuarat Belanjawan 2012, di Wisma Darulaman di sini, melahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana dapat kembali ke dewan berkenaan.

"Inilah pertama kali saya masuk ke dewan yang mulia ini selepas 21 bulan dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana serta Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku ketua pembangkang yang telah banyak menyokong sepanjang saya digantung," katanya.

Katanya walaupun digantung (tugas) sebagai wakil rakyat beliau tetap menjalankan tanggungjawab walaupun tanpa diberi sebarang elaun dan kemudahan.

"Sekarang terpulang kepada kerajaan negeri...saya yakin saya di pihak yang benar dan saya harap kerajaan negeri akan bayar balik elaun dan semua kemudahan dengan segera," katanya.

Pada 18 Ogos lepas, mahkamah rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Abu Hassan bukan lagi wakil rakyat kawasan itu dan memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut selepas membenarkan semakan kehakiman Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain