KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran telah menambah waktu pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) bagi mempertingkatkan kemampuan pelajar dalam mata pelajaran itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.Beliau berkata peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK ditambah dari 240 minit kepada 330 minit seminggu, manakala bagi SJK Cina dan Tamil ditambah dari 60 minit menjadi 120 minit seminggu. Menjawab soalan tambahan Datuk Ab Halim Ab Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai kaedah digunakan bagi memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah luar bandar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Wee berkata kementerian turut menempatkan pembantu pengajar bahasa Inggeris dari luar negara di sekolah luar bandar bagi membantu mengajar dan memantapkan kemahiran berbahasa Inggeris.Mengenai faktor dan sebab membenarkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Wee berkata semua tindakan yang diambil kementerian bertujuan meningkatkan mutu pendidikan negara dengan memantapkan pengisian dan cara pengajaran bagi menjamin para pelajar mendapat pendidikan berkualiti tinggi.Wee berkata kementerian juga membenarkan para pelajar yang telah mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia menggunakan bahasa itu sepenuhnya manakala pelajar yang mengikuti dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa itu sepenuhnya."Kita tidak mahu prestasi pelajar terganggu. Jadi kita sediakan kertas soalan peperiksaan dwibahasa di mana mereka boleh memilih untuk menjawab mana-mana bahasa yang mereka selesa."Jadi ini tidak boleh menjadi isu kerana kementerian sentiasa prihatin dengan pelajar dan tidak mahu membebankan mereka," katanya.Menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) sama ada akan berlaku percanggahan kerana pengajaran Sains dan Matematik di sekolah kembali menggunakan bahasa Inggeris sedangkan semua urusan rasmi mesti menggunakan bahasa Melayu, beliau katanya:"Kita tak pernah tinggal bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa ilmu dan komunikasi, dan dengan adanya satu pemahaman bahasa, saya harap semua orang dapat kuasai bahasa Melayu dengan baik."Katanya Kementerian Pelajaran sentiasa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan tertubuhnya satu jawatankuasa yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan penglibatan agensi kerajaan dan swasta."PM sendiri yang pantau setiap kempen yang kita jalankan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memastikan setiap urusan rasmi menggunakan bahasa kebangsaan, selaras dengan Artikel 152 (1)Perlembagaan, " katanya.-BERNAMA