suria

Azam Disaran Tubuhkan Pusat Komunikasi Dekati Rakyat

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencadangkan agar Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak menubuhkan sebuah institut komunikasi sebagai pendekatan baru mendekati rakyat supaya bertindak balas secara positif terhadap transformasi pembangunan yang berlaku dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Abdul Taib, yang juga penaung AZAM berkata AZAM boleh menyelaras dengan media massa dan jentera kerajaan tempatan serta menjalin rangkaian dengan ahli majlis tempatan yang dilatih oleh mereka untuk membolehkan orang ramai berinteraksi melalui aktiviti sosial dan kebudayaan.

"AZAM boleh memperincikan butirannya (tentang cadangan penubuhan institut). Memberi kefahaman adalah satu perkara tetapi untuk memastikan orang ramai menerima (proses pembangunan baru) memerlukan komunikasi interpersonal," katanya pada majlis jamuan makan malam tahunan AZAM malam tadi.

Turut hadir pengerusi AZAM Datuk Amar Morshidi Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Datuk Aloysius Dris dan Pengurus Besar AZAM Rosalind Yang Misieng.

Ketua Menteri berkata terdapat keperluan untuk membabitkan masyarakat tempatan yang telah berpindah dari rumah panjang dan kampung-kampung ke kawasan perumahan baru, dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu menerusi aktiviti rekreasi dan membabitkan penyertaan sekolah dengan menganjurkan debat dan sukan.

Beliau yakin inisiatif itu boleh dicapai dengan bantuan kerajaan tempatan. - BERNAMA