suria

Wisma Putra Ucap Takziah Kematian Pemimpin Korea Utara

PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Isnin mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Korea Utara atas kematian pemimpin mereka Kim Jong-iI pada Sabtu.

Katanya Wisma Putra baru menerima laporan mengenai kematian Kim, 69, dan sedang berhubung dengan Kedutaan Korea untuk mendapatkan maklumat terperinci.

"Kita juga mungkin akan hantar duta kita di sana untuk menziarah atau melakukan sebarang langkah yang perlu dilaksanakan berhubung perkara ini," katanya semasa dihubungi Bernama di sini.

Beliau juga berharap kepimpinan baru Korea Utara akan berusaha membawa lebih banyak pendamaian di negara itu.

Agensi berita KCNA yang dikendalikan kerajaan Korea Utara mengumumkan pada Isnin, pemimpin mereka itu meninggal dunia pada 8.30 pagi Sabtu.

Kim meninggal dunia selepas mengalami ketegangan hebat pada mental dan fizikal ketika berada di atas kereta api semasa melakukan satu lawatan.

Menurut laporan itu, pemimpin berkenaan menghidap penginfarkan miokardium akut yang diburukkan dengan serangan jantung yang serius ketika berada di atas kereta api tersebut.

Upacara pengkebumian dijadual pada 26 Dis ini dan tempoh berkabung negara pula sehingga 29 Dis, lapor agensi berita itu. - BERNAMA

Artikel Lain