suria

3P Sambut Baik Galakan Najib Rancakkan Penerbitan Karya Penulis Muda

KANGAR: Penulis Perlis (3P) menyambut baik galakan Perdana Menteri untuk merancakkan penerbitan buku terutama karya asli penulis muda dalam pebagai genre dan berhasrat mengeluarkan 30 judul novel tahun depan.

Ketua Dua 3P Nasir Ali berkata usaha itu boleh dicapai melalui komitmen anggotanya, sejajar hasrat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi merancakkan penerbitan buku terutama karya asli penulis muda dalam semua genre semasa sambutan jubli emas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional Ketiga di ibu negara.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup bengkel penulisan novel anjuran bersama 3P dan syarikat penerbitan Nukilan Unggul Publication Sdn Bhd di hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis pada Ahad, Nasir berkata ia merupakan cabaran baru bagi penulis muda.

Bengkel dua hari itu, yang disertai 20 penulis muda, dikendalikan bersama oleh Nasir dan pihak syarikat penerbitan buku tersebut dengan penutupannya dilakukan Ketua Puteri Umno Perlis Asmaiza Ahmad.

Nasir berkata bengkel itu menghasilkan sejumlah 20 sinopsis novel dan telah diserah kepada syarikat penerbitan buku berkenaan untuk dinilai.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nukilan Unggul Publication Sdn Bhd Khairul Hazamy Abdul Ghani berkata pihaknya menjalin kerjasama pintar dengan 3P bagi menyemarakkan penerbitan novel, selain mengetengahkan penulis muda.

Beliau berpuas hati dengan kesungguhan mereka berkarya dan mendapati semua inopsis novel yang diserahkan memiliki kriteria untuk diterbitkan syarikat milik penuh Bumiputera itu.

"Kami akan menunggu kiriman manuskrip novel itu untuk diterbitkan April tahun depan, dan buku karya penulis muda persatuan itu akan turut menyertai pesta buku antarabangsa di Kuala Lumpur pada bulan yang sama," katanya.

Sempena penutupan bengkel itu, Asmaiza melancarkan penerbitan buku karya penulis muda 3P terbitan Nukilan Unggul Publication Sdn Bhd iaitu 'Siri Kisah Hidupku' yang terdiri daripada enam judul buku edisi tulisan Jawi karya Hana Najibah atau nama sebenarnya Ruzai Zahirah rosli dan 'Membongkar Rahsia Ar-Rahnu' karya Asrul Ali atau nama penanya A.Ali.

Pada majlis itu, seorang pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Seri Perlis Farid Zarif Iman Mohd Ariff, 9, menunjukkan kebolehan membaca buku 'Siri Kisah Hidupku' edisi tulisan Jawi itu dengan lancar. - BERNAMA

Artikel Lain