suria

Anwar Elak Ulas Panjang Lebar Kritikan Raja Petra

PETALING JAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengelak daripada memberi reaksi panjang lebar mengenai kritikan pengendali Portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin ke atasnya dalam satu wawancara dengan beberapa akhbar arus perdana yang disiarkan Ahad lalu.

“Saya selalunya tidak komen serangan di saat hendak pilihan raya sama seperti ketika berlangsungnya Pilihan Raya Sarawak dan Pilihan Raya Umum 2008 kerana akan muncul orang dan dakwaan baru yang dikemukakan secara sindirian dan menggunakan media kerajaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Ketika diminta mengulas segala kenyataan dan serangan Raja Petra ke atasnya dalam wawancara eksklusif bersama akhbar arus perdana, Ahad lalu, Anwar berkata, beliau telah lama mengenali Raja Petra.

"Saya mengenalinya lama dan beliau tidak pernah menyebutnya. Beliau mulai aktif sejak di penjara. Saya berterima kasih padanya kerana banyak membantu.

"Tetapi beliau tidak bersedia ke penjara dan akhirnya melarikan diri ke London. Setakat itu sahaja saya nak kata.

“(Tetepi)Sejak beliau menyokong BN (Barisan Nasional) dalam Pilihan Raya Sarawak enam bulan lalu, saya tidak lagi berhubung dengannya,” kata Anwar lagi.

Pendedahan Raja Petra dalam wawancara tersebut ialah mengenai pembohongan Anwar tentang hubungannya (Anwar) dengan Datuk Shazryl Eskay, kenapa Kempen Bebas Anwar 901 tidak akan mendapat sambutan dan mengapa Anwar tidak sesuai menjadi calon perdana menteri.

Artikel Lain