suria

Wujudkan Dasar Pengangkutan Awam Komprehensif:Persatuan Pengusaha Bas

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) mengulangi gesaan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu Dasar Pengangkutan Awam yang komprehensif sebagai satu pendekatan jangka panjang dalam usaha mengatasi masalah syarikat-syarikat bas yang gulung tikar ketika ini.

Timbalan Presiden PMBOA, Razali Endun berkata gesaan itu penting bagi memastikan pengusaha industri pengangkutan awam di negara ini khususnya pengusaha bas tidak terkapai-kapai dan tertanya-tanya hala tuju mereka.

Katanya masalah yang menimpa para pengusaha bas ketika ini bukan sahaja berpunca daripada kenaikan kos operasi semata-mata bahkan juga ketiadaan satu dasar pengangkutan awam yang jelas.

"Itu sebabnya kita dapat lihat pengeluaran permit untuk teksi dan bas dikeluarkan dengan begitu banyak sekali hinggakan ia tidak selari dengan permintaan penumpang. Kebanjiran begitu banyak syarikat bas atau teksi beroperasi menyebabkan mereka terpaksa berkongsi keuntungan dengan pihak lain.

"PMBOA sudah menyuarakan cadangan ini kepada kerajaan kira-kira 20 tahun lalu dengan harapan ia akan dapat melonjakkan pengangkutan awam negara namun sampai sekarang masih belum terlaksana," katanya dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24, Khamis.

Sehubungan itu, Razali menegaskan, kerajaan kini harus menyatakan pendirian mereka sama ada mahu terlibat secara langsung dalam pengurusan industri pengangkutan awam atau sebaliknya.

Katanya jika kerajaan sanggup berbuat demikian pihak PMBOA tidak mempunyai sebarang halangan dengan niat itu dengan syarat pampasan perlu diberikan kepada pengusaha-pengusaha bas.

PMBOA, tambah Razali, bersedia untuk menghentikan operasi bas mereka jika pampasan tersebut dibayar kepada pengusaha-pengusaha bas itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain