PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali supaya melepaskan jawatan itu secara sukarela.Beliau dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kerajaan negeri menghormati keputusan PAS memecat Hasan. Abdul Khalid mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri berkenaan status Hasan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco). Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan bahawa Abdul Khalid mempunyai kuasa untuk menggugurkan Hasan sebagai ahli Exco kerana beliau tidak lagi mewakili Pas dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat.Namun Abdul Khalid menyeru supaya Hasan melepaskan jawatannya secara sukarela kerana adalah amat jelas beliau tidak lagi mewakili Pas."Saya berpendapat beliau sebagai seorang 'gentleman' perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat," katanya.Dalam pada itu, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diperlukan dalam pelantikan ahli Exco, namun perkenan Sultan tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan itu.Abdul Khalid akan mengadap Sultan Sharafuddin pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaru dan berbincang mengenai calon-calon penganti yang sesuai bagi jawatan Exco.