suria

Warga Malaysia Kahwin Warga Asing Harus Daftar Perkahwinan Dengan JPN

GEORGE TOWN: Warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing harus mendaftarkan status perkahwinan mereka supaya anak mereka mendapat status kewarganegaraan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.

Katanya menurut statistik perkahwinan yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih daripada 10 peratus perkahwinan berdaftar melibatkan perkahwinan dengan warga asing.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan sijil kewarganegaraan kepada seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Jonathan Loo Shon Sheuan, 15, di sini hari ini, beliau berkata statistik itu menunjukkan setiap 10 perkahwinan berdaftar, terdapat lebih daripada satu pasangan melibatkan warga asing.

"Antara warga negara asing yang banyak berkahwin dengan warga tempatan termasuklah dari Vietnam, Indonesia dan China," katanya.

Beliau berkata sekiranya perkahwinan itu tidak berdaftar atau anak dilahirkan sebelum pendaftaran perkahwinan, anak yang dilahirkan itu akan mengikut kewarganegaraan ibu.

Sementara itu, datuk kepada Jonathan, Loo Choon Seng, 72, berkata cucunya dilahirkan di Malaysia sebelum pendaftaran perkahwinan anaknya dan ini menyebabkan dia tidak dapat mendaftar sebagai pemilik Mykad.

Loo berkata anaknya berkahwin dengan seorang wanita warga Indonesia namun selepas cucunya berusia enam bulan baru mereka mendaftarkan perkahwinan.

"Kami telah membuat pemohonan Mykad sejak tiga tahun yang lalu namun disebabkan status kewarganegaraan adalah mengikut ibu, cucu tidak dapat berdaftar sebagai pemilik Mykad.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan hari kerana meluluskan pemohonan cucunya saya sebagai warganegara Malaysia untuk membolehkannya memohon Mykad," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain