JELEBU: Lima belas pengunjung beragama Islam premis perjudian komputer ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di empat premis perjudian komputer di Pekan baru, Simpang Pertang di sini, awal pagi Sabtu.Antara yang ditahan dalam 'Ops Siber' dari pukul 8 malam hingga 4 pagi itu ialah tiga penjawat awam dan pihak penguatkuasa JHEAINS turut merampas 15 unit perkakasan komputer selain wang pertaruhan berjumlah RM4,000. Ketua Unit Operasi JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan ketika leka bermain judi siber di premis-premis terbabit."Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Simpang Pertang untuk siasatan dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan bon jaminan penguatkuasa dan dikehendaki hadir semula pada satu tarikh yang ditetapkan untuk membantu siasatan."Penjaga-penjaga premis terbabit telah kita beri satu surat perintah hadir ke Unit Penguatkuasa JHEAINS daerah Jelebu pada satu tarikh yang akan ditetapkan untuk tujuan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya. BERNAMA