KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan kerana positif dadah jenis ganja sementara 26 motosikal disita dan 123 saman dikeluarkan dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena musim perayaan di sini malam Sabtu.Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Nadzri Osman berkata operasi yang diadakan di Plaza Tol Sentul khusus terhadap penunggang motosikal bagi mencegah kesalahan lalu lintas serta kemalangan. "Operasi malam ini kita adakan serentak di seluruh negara dan kita lebih memfokuskan kepada penunggang motosikal yang menjadi penyumbang besar dalam kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita di sini.Operasi tiga jam yang melibatkan 90 anggota JPJ Kuala Lumpur, 13 (Polis Diraja Malaysia, 12 (Jabatan Alam Sekitar), empat (Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), dan 10 (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) turut mengambil tindakan terhadap 103 kenderaan atas pelbagai kesalahan.Beliau berkata motosikal yang disita adalah kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan manakala saman dikeluarkan, antara lain kerana kesalahan mengubah suai kenderaan. BERNAMA