suria

3 Bulan Kaji SBPA - Najib

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perdana Menteri berkata skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan akan pertimbangkan sebaik-baiknya agar ia memberi kepuasan kepada semua," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam negeri Pahang di sini, Sabtu.

Turut hadir bersama hampir 7,000 penjawat awam itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Najib berkata kerajaan amat prihatin terhadap sebarang rasa tidak puas hati dan dakwaan kepincangan sistem baru itu dan bersedia menimbang rayuan yang dibuat dalam menambahbaikan sistem berkenaan.

Perdana Menteri baru-baru ini mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Najib berkata kerajaan juga bersedia menimbangkan pemberian gaji yang lebih kepada penjawat awam, bagaimanapun ia perlukan dikaitkan dengan peningkatan produktiviti mereka.

"Kerajaan boleh bagi tambahan gaji dan bonus tetapi ia perlu dikaitkan dengan produktiviti yang tinggi, kalau ekonomi menguncup, mana mana nak bagi kenaikan gaji dan bonus?," katanya.

Beliau berkata penjawat awam dilihat sebagai kumpulan yang amat penting dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.

"Penjawat awam adalah sekumpulan dalam pentadbiran negara, penting kerana apa agenda besar negara yang hendak dibawa kerajaan pada kesudahannya, kesampaiannya, bergantung kepada peranan dan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, sama ada di peringkat pusat atau negeri," kata Najib.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan menggunakan strategi baru yang perlu didukung penjawat awam bagi mencapai impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Menjelang fajar 2020, kita hendak mencapai sebuah negara maju, saya anggap wawasan yang dibuat (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu impak kepada negara, itulah yang kita sambut ketika itu, dan kurang daripada 10 tahun, kita nak capai negara maju, inilah cabaran kepada kita," katanya.

Najib berkata kerajaan yang ketika ini melaksanakan pelbagai transformasi baru, juga melaksanakan pelbagai strategi baru bagi mencapai hasrat berkenaan.

"Ada kalanya strategi yang digunakan dahulu (pimpinan sebelum ini) baik dan tepat, tapi strategi itu menjadi kekangan (pada masa ini) dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.

Justeru, Najib berkata pendekatan di bawah kepimpinannya ketika ini adalah menggunakan strategi yang dilihat mampu untuk mencapai kesinambungan dan harapan kepimpinan sebelum ini, dan ia perlulah didukung semua pihak terutamanya penjawat awam.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menyentuh berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang menurutnya rakyat dilihat lebih "senang" menerima bantuan sedemikian berbanding bantuan yang tidak dilihat dalam bentuk wang tunai, misalnya pemberian subsidi dan kemudahan prasarana yang dilaksanakan kerajaan.

"Bajet 2012, short term, selagi tak merasa (wang), tak puas hati, jadi kita putuskan beri BR1M. Bila kita tolong (beri) subsidi (kepada barang keperluan), itu (dilihat sebagai) perkara biasa, subsidi bertambah kepada RM22 bilion untuk bantu rakyat bagi tahun ini," katanya.

Najib berkata pemberian BR1M sebenarnya bertujuan membantu golongan rakyat yang susah dan ia terjemahan daripada slogan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".

"Kalau kita hendak berjaya dalam abad ke-21 ini, ide kita mestilah lebih baik daripada orang lain bagi mencapai transformasi besar, namun kita mestilah berpijak di bumi nyata.

"Kalau dah terbukti (kepimpinan kerajaan Barisan Nasional), kalau dah proven (rakyat) tak perlu tolak. Apa yang perlu adalah kepada penambahbaikan, (rakyat) janganlah tolak sesuatu yang sudah terbukti (kepimpinan pemerintahan).

"Saya tak kata kita (kerajaan sedia ada) perfect. Kalau tak betul, kita akui dan kita buat penambahbaikan dalam semua perkara," katanya. BERNAMA

Artikel Lain