IPOH: Pemuda Barisan Nasional (BN) mencabar kredibiliti pemimpin DAP agar mengemukakan lebih ramai anggota daripada kaum Melayu bagi membuktikan parti itu sebagai sebuah parti berbilang kaum.Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata kemampuan DAP yang hanya mengemukakan tiga orang anggota bangsa Melayu tidak boleh membuktikan kewajaran parti itu menggunakan istilah 'DAP parti berbilang kaum'. "Pemuda BN cabar DAP umumkan berapa ramai anggota yang datang daripada masyarakat Melayu...jangan hanya tunjuk tiga orang itu sahaja tapi (tunjukan) keanggotaan keseluruhan jika benar mereka ini adalah parti berbilang kaum," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong di sini, Isnin.Beliau mencabar kepimpinan DAP di semua peringkat untuk membuktikan keanggotaannya daripada orang Melayu."...tetapi jangan cakap DAP parti berbilang kaum jika mereka tak dapat terima keanggotaan (yang lebih banyak) daripada masyarakat Melayu," katanya.Sementara itu, Khairy berkata BN akan menjadi pilihan generasi muda menjelang pilihan raya umum ke-13 berdasarkan kepada trend pengundi muda yang juga dilihat semakin meningkat.Beliau berkata keyakinan itu bukan sekadar kata-kata retorik tetapi terbukti berdasarkan kepada pilihan raya kecil sebelum ini.Sehingga hari ini jumlah keanggotaan yang mendaftar sebagai anggota Pergerakan Pemuda Umno mencecah 100,000 orang."Saya percaya usaha selama tiga tahun ini dengan banyak program yang tidak berunsur politik tapi lebih kepada kerjaya, pendidikan dan kebajikan dengan melibatkan generasi muda, ia akan buahkan hasil dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.Bagaimanapun katanya, BN perlu meningkatkan persiapan dan kekuatan jentera bukan sahaja di peringkat bahagian malah melalui kempen di alam siber seperti menggunakan medium 'Facebook' dan 'Twitter'."Yang penting kita mesti memastikan persediaan cukup daripada aspek kestabilan dan kesediaan parti menjelang PRU (pilihan raya umum) ini," kata Khairy. BERNAMA