suria

Wartawan Veteran Bernama dan TV3 Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Pengarang Berita TV3, Sukardi Abdul Ghany yang juga bekas penolong editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, meninggal dunia pada awal pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat komplikasi buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Sukardi 56, meninggal dunia di HKL pada pukul 3.30 pagi Selasa. Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumahnya di No 42, Jalan Joran 19/24, Shah Alam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Hashimah Yang, 53 dan seorang anak lelaki Syahiran Hakiran, 26.

Sukardi yang menyertai Bernama pada 1980 selepas menamatkan pengajian dalam jurusan Sebaran Am (Kewartawanan) dari Institut Teknologi Mara (ITM) pernah menjawat jawatan sebagai pewarta Bernama di Indonesia dan juga Ketua Biro Bernama di Perak.

Allahyarham berkhidmat dengan Bernama sehingga tahun 1995 sebelum beralih angin ke TV3.

Anak tunggalnya, Syahiran Hakiran berkata ayahnya telah nazak sejak petang semalam semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi HKL.

Ayahnya menghidapi komplikasi buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru sejak dua bulan lepas, katanya yang terlibat dalam bidang fotografi.

Syahiran Hakiran juga berkata, sebelum Sukardi meninggal dunia, ayahnya sempat merestuinya untuk meneruskan kariernya dalam bidang tersebut.

Kata Syahiran, Allahyarham sempat bersembang dengannya mengenai cita-citanya dalam seni foto dan "dia bagi sokongan sepenuhnya (dalam bidang itu) untuk saya meneruskan dengan apa yang saya minat."

Ayah turut mengucapkan terima kasih atas segala sokongan dan bantuan yang diberikan oleh sanak-saudara, jiran, rakan setugas serta kenalan kepada Allahyarham semasa menghadapi masalah kesihatan itu pada tahun lepas.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, yang merupakan rakan sekuliah semasa di ITM dan rakan sekerja semasa di Bernama, berkata Allahyarham merupakan seorang yang pendiam, baik hati, dedikasi dan tidak suka menimbulkan masalah semasa menjalankan tugas.

Zakaria berkata Sukardi merupakan rakan sekelas semasa bersama-sama mengambil jurusan Sebaran Am di ITM dari tahun 1977 hingga 1980, dan sama-sama menyertai Bernama sebagai wartawan pada tahun 1980.

Setiausaha Penerangan Umno pusat Nasiruddin Jantan yang juga rakan setugas semasa di Bernama dalam tahun 1980-an berkata Allahyarham merupakan seorang wartawan yang berdisiplin, tidak membuang masa dan menjadi contoh kepada wartawan yang junior kepadanya.

"Allahyarham juga tidak lokek ilmu dan sedia berkongsi ilmu yang diperolehnya walaupun dengan junior," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 NGO Puas Hati Penjelasan NFC

Artikel Lain