BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal analisis penganalisis politik bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan 50-50 untuk menawan kembali negeri yang dikuasai pembangkang.Beliau berkata, tanggapan itu hanya analisis politik yang dibuat secara rambang. "Sama ada BN atau pembangkang semua hendak menang, bagi BN, kita harus memperkasakan usaha untuk meraih sokongan rakyat bukan setakat projek fizikal seperti memberi bantuan atau pembangunan yang masih dianggap tidak mencukupi" katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 500 penerima di Dewan Umno Bagan Datoh di sini Ahad.Zahid Hamidi yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata BN harus mencari pendekatan baru untuk memenangi semula hati rakyat dengan turun padang bagi mengetahui permasalahan rakyat tanpa mengira fahaman politik yang berbeza.Beliau berkata, pemimpin BN perlu mencontohi usaha gigih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kerap turun padang untuk menemui rakyat di peringkat akar umbi.Zahid Hamidi yang juga Menteri Pertahanan menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan fitnah pembangkang yang suka mengeksploitasikan isu kerana mereka mempunyai agenda politik tersembunyi. - BERNAMA