suria

Usah Amal Budaya Fitnah:Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Penulis blog di negara ini diingatkan supaya menghindari budaya fitnah kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi merugikan negara dan penduduk tempatan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata masyarakat tempatan memang mudah terpengaruh dengan berita-berita berunsur fitnah yang dimuatkan dalam pelbagai blog.

"Sehubungan itu penulis blog perlu lebih bertanggungjawab dengan menyiasat terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita bagi menentukan kebenarannya sebelum dimuatkan dalam blog mereka.

"Bagi pihak kerajaan, saya sedia bekerjasama dengan penulis blog dan memberi sumber-sumber dan fakta yang tepat mengenai pembangunan negeri Terengganu untuk bahan blog saudara-saudari," katanya pada majlis perjumpaan Menteri Besar Terengganu dengan penulis blog di kediamannya di Seri Iman, malam Sabtu.

Kira-kira 80 penulis blog dari Terengganu dan luar negeri ini berkumpul atas jemputan khas Menteri Besar bagi bertukar pandangan dengan pemimpin kerajaan negeri ini.

Ahmad berkata pemimpin politik sering menjadi mangsa fitnah dan kerajaan sesebuah negeri boleh jatuh kerana penyebaran berita yang tidak benar berkaitan kerajaan yang memerintah.

"Jika keadaan ini berlaku rakyat yang akan menanggung kerugian kerana apa yang ingin dilakukan oleh pemimpin kerajaan sekarang ini tidak dapat diteruskan di masa depan kerana mereka tidak lagi menjadi pemimpin," katanya.

Sementara itu dalam sesi dialog bersama penulis blog berkenaan, Ahmad berkata kerajaan negeri amat menghargai sumbangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu merancakkan pembangunan di Terengganu.

Beliau berkata terdapat hampir 1,000 NGO di negeri ini dan daripada jumlah itu lebih 300 pertubuhan amat aktif dan banyak membantu kerajaan, termasuk menyebarkan maklumat mengenai pembangunan negeri ini kepada rakyat.

"Pada tahun ini kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2 juta untuk diagih kepada semua NGO bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan masing-masing," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain