PULAU PINANG: Akibat ketagih berjudi, seorang bapa sanggup membawa anak lelakinya berusia tiga tahun menemaninya berjudi di sebuah pusat judi tanpa lesen di bandar ini.Lelaki itu adalah antara 21 kaki judi dan 13 penjaga premis perjudian yang ditahan dalam operasi membanteras kegiatan judi tanpa lesen di sini, malam Jumaat. Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata polis turut merampas wang tunai sebanyak RM2,444 dan 111 mesin judi."Operasi yang dijalankan sejak semalam itu melibatkan 10 pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. Sebanyak sembilan pusat judi haram diserbu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.Gan berkata antara premis yang diserbu ialah tiga di Sungai Nibong, masing-masing dua premis di Batu Ferringhi dan Jelutong serta masing-masing satu di Datuk Keramat dan Jalan Patani.Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan, pemain judi boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.Pemilik premis pula akan didakwa mengikut Seksyen 4B(a) akta yang sama yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA