suria

Angpau Putih: Gerakan Tuntut Perkasa Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Gerakan meminta PERKASA memohon maaf kerana menghina masyarakat Cina dengan pemberian angpaudalam sampul putih pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh pertubuhan itu pada Ahad.

Naib presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata pemberian angpau dalam sampul putih pada Tahun Baru Cina - sebagai festival kegembiraan - menunjukkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali tidak sensitif dan tidak ikhlas.

Putih dianggap sebagai warna yang digunakan dalam upacara kematian dalam adat resam kaum Cina.

"Sebagai ahli Parlimen dan berada dalam politik untuk bebeberapa tahun, Ibrahim masih tidak tahu kebudayaan kaum lain dan sebab itu dia terus mengeluarkan banyak kenyataan tanpa berfikir," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata oleh kerana jumlah hadirin yang besar pada majlis itu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, pihaknya kehabisan sampul berwarna merah dan terpaksa memberi angpau dengan menggunakan sampul warna putih.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata tindakan PERKASA itu tidak menghormati budaya dan adat resam kaum Cina.

Katanya Ibrahim harus bertindak atas kepentingan rakyat dan memahami masyarakat pelbagai budaya dan pantang larang setiap kaum dan agama.

"Tidak dapat diterima bahawa tidak tahu boleh dijadikan sebagai alasan," katanya dalam kenyataan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain