suria

Stor Kedai Kasut Di Pusat Beli-Belah Terbakar

ALOR SETAR: Sebuah stor kedai kasut dan beg di sebuah pusat beli-belah City Plaza di Jalan Kolam Air di sini musnah dalam satu kebakaran pagi Selasa.

Pekerja kedai tersebut, Nurul Shazwani Sabri, 24, berkata kira-kira pukul 11.04 pagi, dia ada terdengar bunyi seperti meletup pada fius elektrik yang terletak dalam stor tersebut disusuli dengan bau hangit.

"Pada masa itu tidak ada percikan api lagi. Kira-kira pukul 11.45, satu percikan api terjadi pada pendawaian dalam stor tersebut dan api mula membakar kasut dan rak dalam stor itu. Saya dan seorang rakan yang sedang melayan pelanggan mengarahkan pelanggan kami keluar dari kedai," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata dalam keadaan api yang mula marak dalam stor, dia sempat mengambil begnya dalam stor itu dan kemudian menghubungi majikannya memaklumkan kejadian itu sementara pekerja di kedai lain menghubungi bomba.

Pemilik cawangan kedai itu, Yap Soon Yung berkata jumlah kerugian termasuk kerosakan kedai dianggarkan kira-kira RM100,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Mahmad Fauzi Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.50 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bersama dua jentera dan sembilan anggota.

Beliau berkata api dapat dikawal kira-kira pukul 12 tengah hari dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain