suria

APMM Gagalkan Penyeludupan Keluar 8 Rakyat Pakistan

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 9APMM) menumpaskan cubaan menyeludup keluar lapan rakyat Pakistan termasuk seorang kanak-kanak di perairan Pulau Perjudi Port Dickson, Negeri Sembilan, malam Khamis.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, kesemua mereka yang berusia antara 10 dan 40 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen melibatkan keseluruhan 19 anggota pada pukul 10.45 malam.

Beliau berkata, hasil maklumat orang awam, bot APMM bertindak memintas sebuah bot pancung yang cuba menyusup keluar dari pantai berdekatan perairan Pulau Perjudi dipercayai menuju ke Indonesia seterusnya ke Australia.

"Bot pancung itu telah diarah untuk berhenti tetapi tekong bot terus memecut laju dan berpatah balik ke pantai sebelum cuba melarikan diri bersama beberapa pendatang," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kesemua pendatang asing dan seorang tekong bot rakyat Indonesia serta dua tekong rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 30-an itu berjaya ditahan.

Ibrahim berkata, dalam operasi itu, APMM turut merampas pelbagai matawang asing termasuk Dolar Amerika, Pakistan Rupee, Afghanistan Afghani dan Sri Lanka Rupee keseluruhan berjumlah RM45,000.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rakyat Pakistan terbabit telah membuat pembayaran perjalanan ke Australia berjumlah antara AS$1,000 hingga AS$6,000 setiap seorang.

Beliau berkata, kesemua mereka masuk ke negara ini secara sah melalui jalan darat dari Thailand pada 27 dan 31 Januari lepas.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, katanya.

Ibrahim berkata, APMM akan meningkatkan pengawasan di laut dan meneruskan kerjasama dengan PDRM, Imigresen serta agensi lain bagi membendung kes penyeludupan migran. - BERNAMA

Artikel Lain